Adat Masyarakat Jawa
Lenggang perut
Adat lenggang perut juga dikenali sebagai mitoni. Ia dijalankan khusus untuk seseorang wanita yang hamil buat kali pertama. Upacara ini dijalankan ketika kehamilan memasuki tujuh bulan. Tujuan upacara ini dijalankan ialah untuk memohon keselamatan ibu dan juga bayi yang bakal dilahirkan.
Masyarakat Jawa percaya janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh yang perlu dijaga dan diraikan. Anak pertama dikatakan membawa tuah bukan sahaja kepada keluarga malah kepada adik-adiknya yang bakal dilahirkan. Bakal ibu terpaksa melalui beberapa peringkat upacara. Bakal ibu akan dimandikan dengan air bunga menggunakan 7helai kain batik. 7 lapisan kain batik itu diletakkan diatas kepala bakal ibudan dimandikan dengan air bunga. Kemudian kain batik 7 helai itu perlu digunakan oleh bakal ibu semasa proses bersalin.
Para tetamu upacara lenggang perut biasanya dihidangkan dengan nasi ambeng. Ketika penyediaan dijalankan, pelayan perlu mengambil dulang yangberisi nasi ambeng secara satu arah. Mereka ditegah berjalan bolak balik melawan arah. Ia untuk mengelakkan bayi yang bakal dilahirkan keluar secara songsang.
Jagongan
Adat jagongan dikenali sebagai ziarah sambil duduk. Ada juga yang mengenali adat ini dengan nama 'muyi'. Pada hari pertama hingga ke tujuh kelahiran, jiran tetangga dan saudara mara akan datang menziarahi keluarga bayi. Biasanya kaum perempuan akan datang pada waktu malam. Ketika ziarah mereka akan dihidangkan dengan kuih tradisional. Tujuan mereka berziarah ialah menemani si ibu dan bayinya. Pada pandangan masyarakat Jawa, si ibu yang baru dilahirkan lemah semangatnya manakala si bayi mudah disampuk oleh sesuatu kuasa jahat.
Bengkungan
Bengkung ialah sejenis tali pinggang yang dipakai selepas melahirkan bayi. Bengkung diperbuat daripada kain yang lembut sepanjang 6 hingga 7 meter. Si ibu akan melilitkan bengkung tersebut pada bahagian bawah dada sehingga paha agar rahim mudah sembuh, perut tidak menggelebeh dan punggung tidak jatuh. Pada masa kini walaupun terdapat bengkung moden yang lebih mudah dan murah namun masih ada lagi sebilangan kaum perempuan yang menggunakan kaedah tradisional demi mengekalkan adat dan budaya.
Puputan/ Cukur Jambul
Upacara cukur jambul biasanya dijalankan selepas 40 hari bayi dilahirkan atau selepas si ibu habis tempoh berpantang. Jiran tetangga dan saudara mara dijemput unutk majlis doa selamat. Ketika ini mereka akan berzanji beramai-ramai. Selesai bacaan berzanji bayi akan dibawa keluar. Beberapa orang tetamu yang terdiri daripada Pak Imam dan mereka yang dikenali sebagai orang alim akan memotong sedikit jambul sambil membaca doa agar bayi tersebut membesar penuh keberkatan. Rambut tersebut akan dimasukkan di dalam buah kelapa muda laulu ditanam sekitar rumah. Pada ketika itu, tuan rumah biasanya akan mengagihkan bunga telur dan bunga rampai kepada para tetamu. Supaya lebih tahan lama telur tersebut biasanya dimasak pindang. Ada juga yang menabur beras beserta duit syiling di ruang tamu sebaik sahaja majlis potong jambul tersebut selesai sebagai simbol apabila dewasa nanti anak tersebut dimurahkan rezeki dan mudah mendapatkan makanan dan kaya.
Among-among / Pijak tanah
Among-among ilah majlis dijalankan untuk si anak daripada dilahirkan sehingga berusia 2 tahun. Majlis ini untuk meraikan si anak yang sudah pandai berjalan yang istimewanya majlis ini adalah yang pertama kali si anak menjejakkan kaki di atas tanah. Dari lahir sehingga pandai berjalan, si anak tidak dibenarkan unutk memijak tanah. Kebiasaannya si anka akan dimasakkan bubur candel yang diperbuat daripada tepung pulut, santan dan tepung pulut yang dibancuhkan dan dibentukkan sebesar ibu jari. Bubur candel akan diletakkan dalam 2 bekas untuk si anak merendamkan kakinya di dalam bubur candel, si anak akan diletakkan di atas dulang dan para tetamu akan menunggu barang apa yang pertama si anak capai. Bertujuan masa depan si anak ini pandai atau kelebihannya di mana. Pada majlis ini juga para tetamu akan dihidangkan dengan bubur putih bubur merah sempena mneyambut hari kelahiran si anak. Adat ini masih dipraktikkan oleh sebahagian penduduk dan kaum jawa itu sendiri.
Sunatan/ berkhatan
Pada masa kini, ramai masyarakat Jawa yang menghantar anak mereka ke klinik untuk bersunat kerana ianya lebih selamat berbanding cara tradisional dengan menggunakan khidmat Tok Mudim.
Sebelum upacara sunat dijalankan, kanak-kanak diminta berendam di dalam kolam atau sungai. Knak-kanak tersebut diminta duduk di atas batang pisang atau abu dapur ketika Tok Mudim menjalankan tugas. Sebelum memulakan sunatan kanak-kanak akan diberi makan daun sireh sambil ditemani si ayah untuk memberi semangat. Seminggu sebelum bersunat kanak-kanak tersebut tidak dibenarkan keluar dari rumah untuk membuat sebarang aktiviti kerana dipercayai nanti bentan. Kanak-kanak yang baru bersunat terpaksa menjalani tempoh berpnatang selama lebih kurang 2 minggu sehingga betul-betul sembuh. Masyrakat jawa akan menjemput jiran tetangga, sanak saudara untuk menghadiri majlis meraikan anak mereka. Biasanya majlis keraian diadakan serentak dengan majlis khatam Al Quran.
Baraan/ Ziarah beramai-ramai
Masyarakat Jawa masih mengamalkan kekeluargaan dan kemasyarakatn yang tinggi. Budaya ziarah-menziarahi secara beramai- ramai atau dikenali sebagai 'baraan' masih diamalkan terutamanya ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ketika majlis baraan mereka akan berselawat dan membawa doa dalam Bahasa Jawa. Selesai berselawat merekan akan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan. Para tetamu akan dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan. Antara menu popular masyarakat Jawa pada Hari Raya ialah ketupat nasi, rendang ayam atau daging, serunding,kelapa, sambal goreng tempe, ayam masak pecal dan gado-gado.
Nasi Ambeng
Masyarakat Jawa menyediakan nasi ambeng untuk tetamu yang datang dalam majlis kenduri doa selamat. Nasi beserta lauk diletakkan di dalam sebuah dulang besar dan dimakn oleh sermai empat atau lima orang. Nasi yang tidak habis dimakan atau dibungkus dan dibawa balik sebagi buah tangan kerana dipercayai sebagai ' nasi berkat'. Antara lauk nasi ambeng yang popular dalam masyarakat Jawa ialah ayam masak ingkong, mee goreng, serunding kelapa dan sambal goreng tempe.